Saturday 21 January 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 9...

ASSALAMUALAIKUM..


SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 9
BENIH CINTA TUMBUH KEMBALI
Dari hari telah ke minggu dan dari minggu hinggalah ke bulan. Keadaan gadis ini tidak berubah. Disuatu petang, sedang aku lalu di situ, seorang budak telah menahan aku. Dia memberikan kepadaku sepucuk surat. Hatiku berdebar-debar apabila menerima surat itu.
"Surat apakah ini", tiba-tiba hati kecilku berkata. Lalu aku pun meneruskan perjalananku. Sampai di suatu tempat yang agak lapang dan sunyi aku berhenti. Kubuka surat itu. Surat itu rupanya datang dari seorang yang bernama Tengku Wok. Surat itu berbunyi...
Encik Othman,
Mahukah Othman menolong aku? Sekiranya Othman mahu, silalah datang ke rumahku pada malam Ahad ini. Adikku Tengku Normah tersangat ingin menemui Othman. Sebilangan hari dia duduk di atas rumah di bawah di tiang anjung, menunggu Othman lalu. Makan minum tidak dihiraukannya. Apabila Othman telah lalu barulah dia tinggalkan tiang anjung itu. Kasihanilah pada Tengku Normah, Othman. Untung-untung dengan kedatangan Othman ianya akan menjadi penawar kepada adikku kelak.
Yang benar,
Tengku Wok.
Telah habis kubaca, surat itu kulipat. Kemudian aku masukkan ke dalam saku seluarku. Sambil berjalan ke pekan Salak aku terfikir akan sesuatu. Apakah anak raja ini rindukan aku? Ah, tak mungkin, kata hatiku. Masakan terbau langit oleh anjing!
Waktu petangnya aku pun balik ke rumahku di Bhutan Estate. Sebaik sampai di hadapan rumah Tengku Jaafar, gadis itu melambai-lambaikan lagi sapu tangannya. Lambaian yang penuh lemah gemalai. Kepalanya disandarkan ke jenang tingkap tempat dia berdiri. Aku berlalu dari situ dengan seribu satu perasaan yang berkecamuk di dalam hati. Perasaan yang menghantui aku hingga aku sampai ke rumah. Setelah aku berehat pada waktu malamnya, aku pun mengambil keputusan untuk membalas surat Tengku Wok. Lalu kutulis…..
Tengku Wok,
Sesudah aku baca surat Tengku, alangkah belasnya rasa di hati ini. Kasihan rasa di hatiku bila mengenangkan adik Tengku telah mengidap penyakit yang sebegitu. Tetapi kenapa pula kepada anak dagang ini Tengku mengadu? Apakah penyakit yang telah menghinggapi adik Tengku itu? Namun untuk datang ke rumah Tengku, berat rasa hatiku kerana jemputan ini bukanlah dari orang yang sebenarnya. Oleh itu bersabarlah! Nantilah, akan kufikirkan habis-habis dahulu.
Salam dariku,
Dagang perantau.
Othman Bhutan.
Selepas kutulis surat itu aku lipat lalu aku masukkan ke dalam sampul. Pada petanga itu seperti biasa aku pergi ke pekan Salak. Sewaktu aku melalui jalan di hadapan rumah Tengku Jaafar aku campakkan surat itu ke dalam pagar rumahnya. Kebetulan gadis itu berada di bawah pohon kelapa di tepi pagar rumah. Aku pun terus berjalan ke pekan Salak. Pada masa aku balik, aku pandang ke arah tingkap yang selalu itu. Di tingkap itu tiada sesiapa lagi.
Dua hari berselang. Pada petang hari ketiga aku keluar seperti biasa. Aku berhenti duduk di atas sebuah jambatan besi. Jambatan itu terletak di sebelah kanan rumah Tengku Jaafar arah ke pekan Salak. Tiba-tiba seorang budak datang mendekatiku. Dia menghulurkan sekeping surat kepadaku sambil berkata, "Tengku Normah suruh beri kat abang."
"Baiklah," jawabku ringkas.
Budak itu pun berlalu dari situ. Surat yang aku pegang itu tersangatlah harum baunya. Menyeramkan bulu romaku! Surat itu aku bawa balik ke rumah. Sesudah aku mandi dan bersalin pakaian, aku duduklah dekat sebuah meja. Aku ambil surat tadi. Degupan jantungku terasa kuat. Hatiku rasa berdebar-debar. Lalu sampul surat itu aku buka. Di dalamnya tedapat sehelai sapu tangan berwarna merah jambu. Sapu tangan yang pernah dan selalu aku lihat. Sapu tangan yang sering gadis itu lambai-lambaikannya padaku semasa aku lalu di hadapan rumahnya setiap petang itu. Aku pun mengambil sapu tangan yang harum semerbak itu. Perlahan-lahan aku buka suratnya. Aku lihat tanda tangan di akhir surat itu ialah Tengku Normah. Suratnya berbunyi...
Kekanda Othman,
Sungguh lama aku memendam rindu. Aku sendiri pun tak tahu kenapa. Aku merindui kekanda! Aku telah bertanya kepada budak-budak di sini siapa nama kanda yang sebenar. Selepas surat kanda kepada kekanda Tengku Wok kubaca, lapanglah rasanya dadaku. Nama kanda itu adalah betul.
Kandaku,
Agak ramai pemuda yang yang lalu berulang-alik di hadapan rumahku. Namun hatiku tetap seperti biasa. Kepada kanda aku alami perasaan yang sangat berlainan. Selama tiga bulan perasaan ini kupendam. Akibatnya keadaan telah menjadi bertambah buruk. Aku merana berterusan. Merana! Merana kerana rindukan kanda. Kepada siapalah akan kuperkhabarkan. Kepada siapakah hendak kuceritakan! Sedangkan kanda tetap berulang-alik lalu di hadapan rumahku. Sekali-sekala melemparkan pandangan ke rumahku.
Aduh bisanya penyakit ini kekanda. Hanya Tuhan sajalah yang dapat mengetahuinya. Setelah tidak terdaya lagi menahannya, aku khabarkan kepada kakak-kakakku. Mereka memberi nasihat supaya aku melupakan kanda. Namun ianya tidak memberi kesan sedikit pun.
Kandaku,
Tolonglah siramkan setitik embun kasih agar derita yang bersemarak dalam hatiku ini dapat berkurangan. Curahkan sedikit air kasih sayang agar pohon yang layu akan segar kembali. Sekian lama aku menanggung perasaan. Untukku hilangkan amat sukar sekali. Hendakku dibiarkan, mungkin akan meranalah hidupku ini selama-lamanya. Kanda, temuilah dinda pada malam minggu ini nanti. Aku akan menunggumu di belakang rumahku. Aku berharap rinduku yang terpendam selama ini pada kanda akan menjadi berkurangan.
Akhir sekali, tunaikanlah harapan dariku ini. Kuharap kanda tidak akan menghampakannya. Kalau tidak, aku akan terus tenggelam dan karam dalam lautan rindu. Merindukan kanda!
Dari dinda,
Normah.
Sehabis sahaja kubaca suratnya, perasaan kasihan dihatiku serta-merta datang. Aku mengeluh! Bisik hati ke"Kenapalah anak raja ini jatuh hati padaku?" "Tak apalah..," kata hatiku. "Akan kucuba menyelami lubuk hatinya. Sejauh manakah kasih sayangnya padaku. Atau pun dia hanya berpura-pura.”
Selepas surat dari Tengku Normah itu kubaca, lalu kuambil sehelai kertas. Aku pun mulalah menulis. Menulis surat balasan kepada surat yang telah dikirimkan oleh Tengku Normah kepadaku petang tadi. Suratku berbunyi….
Tengku Normah,
Mengapakah harus jadi begini? Sudahkah Tengku berfikir habis-habisan? Tengku renungkanlah baik-baik agar penyesalan tidak akan mengikat jiwa Tengku di akhirnya nanti. Tidakkah Tengku mengetahui bahawa Tengku adalah anak orang yang berada dan berketurunan darah raja? Sedangkan saya adalah orang kebanyakan. Apalah yang ada pada kumbang idaman Tengku ini. Rupa tiada. Apatah lagi wang ringgit, tidak pernah kecukupan. Kalau budi bahasa pula, belum pernah saya berikan kepada Tengku.
Ya, sekali lagi saya berharap, renungkanlah nasib Tengku yang akan datang jika hidup bersama saya. Sesudah itu, hilangkalah perasaan yang Tengku pendam terhadap saya selama ini. Mudah-mudahan Tengku akan kembali seperti sediakala. Saya akhiri surat ini dengan serangkap pantun...
Buah duku selasih dani,
Jual serbat di tepi jalan;
Tengku berkasih dengan kami,
Menjatuhkan darjat dirimu tuan.
Tengku Normah, saya harap Tengku tidak berkecil hati. Lupakanlah saya yang buruk ini. Semoga Tengku berada di dalam kesejahteraan setiap masa.
Dari saya,
Dagang Merantau
O.B.
(Othman Bhutan)
Pada esok petangnya aku ke pekan Salak seperti biasa. Sesampai di hadapan rumah Tengku Jaafar aku berikan surat itu kepada seorang budak untuk disampaikan kepada Tengku Normah. Lepas itu aku terus ke pekan Salak. Pada petangnya, waktu aku akan balik, aku lihat Tengku Normah menyandarkan bahunya ke jenang tingkap. Wajahnya begitu sayu. Sedih hatiku melihatnya. Aku meneruskan perjalananku balik ke rumah.
Selepas makan malam, aku berbaring seorang diri. Isteri dan anak-anakku masih di kampung lagi. Anakku Ramlah masih belum lagi sembuh dari sakitnya. Mataku tak dapat hendak dilelapkan. Fikiranku melayang jauh ke rumah Tengku Normah. Dan bila mataku hampir hendak terlena, seolah-olah terbayanglah wajahnya yang lesu dan tangannya yang melambai-lambaikan tuala merah jambu itu. Aku terjaga kembali. Hatiku berkata, "Apakah aku akan menanggung rindu sekali lagi?"
Entah bila mataku terlelap aku pun tak pasti. Tahu-tahu, Pak Itam Sadin sudah datang mengejutkan aku dari tidur. Waktu sudah jam 6.00 pagi rupanya. Aku bergegas pergi ke tempat rumah enjin. Aku hidupkan enjin itu. Setelah enjin dihidupkan, barulah aku mandi dan bersalin pakaian kerja.
Sepanjang hari itu hatiku diselubungi oleh berbagai-bagai perasaan. Aku sangat kasihan mengenangkan penanggungan Tengku Normah. Ini adalah kerana aku pernah merasakan dan mengalaminua di suatu waktu dahulu. Perasaan hati yang sering merindu pada seseorang yang amat kita kasihi. Dua hari kemudian, aku keluar lagi ke pekan Salak seperti biasa. Aku ternampak seorang budak meletakkan surat di tepi jalan. Diletakkan di tepi jambatan berhampiran dengan rumah Tengku Normah. Budak itu memberikan isyarat tangan. Dia menyuruh aku mengambil surat itu.
Aku berpura-pura berhenti melihat basikalku dan terus mengambil surat itu. Rupa-rupanya Tengku Normah ada memerhatikan dari hujung jendela anjung rumahnya. Aku pun menaiki basikalku semula dan terus mengayuhnya arah ke pekan Salak. Tidak berapa lama berada di pekan aku balik semula ke rumahku di Bhutan Estate. Aku terpaksa balik segera kerana hatiku sangat ingin mengetahui apakah isi kandungan surat Tengku Normah kali ini. Sebaik sampai di rumah suratnya aku buka. Bau harum suratnya menusuk ke dalam rongga hidungku. Harum yang menikam masuk ke dalam benakku. Dengan perasaan yang tidak tentu arah dan bergelora aku baca surat itu. Surat Tengku Normah berbunyi…
Kandaku yang kukasihi,
Dinda berharap janganlah kanda menulis dengan menggunakan panggilan Tengku lagi. Gunakanlah Normah sahaja. Tiadalah indahnya gelaran dan darjat jikalau kehidupan tidak seberapa.
Oh kandaku!
Sampainya hati kandaku menyuruh dinda melupakannya saja kanda. Membiarkan rindu dendam dinda terhadap kanda yang selama ini dinda tanggung. Kasih tidak memilih pangkat dan darjat. Cinta juga tidak memilih paras rupa, kanda! Walaupun dinda telah cuba untuk melupakan kanda namun air mata ini terus gugur bercucuran membasahi pipi dinda.
Kutatap pantun kanda. Semakin bertambah rindu hati dinda ini. Kanda seakan-akan tidak percaya penanggungan dinda selama ini. Sekiranya boleh dinda menahannya penanggungan ini masakan Kak Wok akan mengirimkan surat yang terdahulu itu kepada kanda.
Wahai kanda, berikanlah sedikit masa untuk dinda berjumpa dengan kanda. Kalau tidak pun, dapat bertemu barang sesaat pun jadilah. Akan dinda jadikan cermin kenangan selama hidup dinda nanti. Berilah dinda kesempatan menyampaikan hasrat rindu dinda di hadapan kanda. Akan terhapuslah segala rindu dinda selama ini. Dan kalau dinda mati pun selepas itu tidak mengapalah. Relalah dinda.
Mungkin kanda takut akan keselmatan diri kanda. Dinda berjanji kalau kanda diapa-apakan dan tercedera, akan kugalangkan badanku ini. Lagi pun kakak-kakakku telah berjanji untuk melindungi kanda. Mereka telah sepakat kerana kasihankan dinda yang menanggung lara.
Sudah tiga bulan lebih dinda tak tentu makan dan minum. Setiap masa hati ini ingin melihat wajah kanda dari dekat. Sebab itulah dinda sentiasa berada di bawa anjung rumah menunggu kanda lalu. Apabila telah terlihat wajah kanda barulah terhibur sedikit hati dinda.
Kanda tentu tahu di mana dinda berada setiap petang. Sewaktu kanda lalu pergi ke pekan Salak dan semasa kanda balik. Dua hari berlalu. Dinda tidak dapat melelapkan mata. Badan dinda tidak sesihat dahulu. Mungkinkah kesihatan dinda akan terus terganggu? Janganlah biarkan dinda merana kerana dihinggapi penyakit rindu ini. Kasihanilah dinda wahai kandaku. Tunaikanlah hasrat dinda ini walaupun untuk sekejap masa. Jam 9.00 malam, hari Khamis ini adinda akan menunggu kedatangan kanda.
Selasih muda tepi permatang,
Petik mari di pagi minggu;
Kalau kasihan silalah datang,
Agar terubat hatiku yang rindu.
Yang menanggung rindu,
Normah.
Selesai kubaca surat dari Tengku Normah itu, terbayanglah kisah sedih diriku yang pernah kualami sewaktu-waktu dahulu. Penaggungan batinku di masa yang lampau. Masa aku berpisah dengan kekasihku Inchum. Perasaan kasihan menjalar ke dalam hati dan sanubariku. Lalu aku pun mengambil keputusan untuk bertemu dengan Tengku Normah. Aku tuliskan surat jawapan kepadanya. Dengan datangnya surat ini nanti aku berharap Tengku Normah akan berasa riang dan gembira. Gembira kerana akan dapat bertemu denganku. Suratku berbunyi…
Normah,
Setelah habis kanda baca surat dinda, menjalarlah rasa belas kasihan ke dalam dada kanda. Adinda telah dibakar api yang membara. Dibakar api cinta! Sejenak kanda menungkan terasa berat di kepala kanda ini memikirkannya. Dinda dan kanda terlalu jauh berbeza. Namun kalau gayung tidakku sambut dengan apakah nanti akan kubasuh kakiku ini. Kalau kasih tidak kubalas pasti kelak dinda akan merana diri!
Oleh sebab itu kanda telah membuat keputusan. Telah kanda tanam tekad di hati ini. Kanda akan datang menemui dinda pada masa yang telah dinda tentukan itu. Tenangkanlah perasaan dinda dan sabarlah untuk menunggu masanya. Masa untuk menemui kanda. Malam itu nanti pasti kanda akan datang menemui dinda. Percayalah!
Kandamu,
O. B.
(Othman Bhutan)
Pada petang harinya aku berikan surat itu kepada budak yang selalu membawakan aku surat dari Tengku Normah dulu itu.
(Bersambung ke BAB 10 - PERTEMUAN PERTAMA KALI

7 comments:

  1. Serba salah jadinya kanda Othman tu.

    ReplyDelete
  2. kreatifnya akak :) moga success selalu. hehe

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum kak, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik
    Lama tak berkunjung ke sini, sibuk terkejar ke sana sini. Alhamdulillah hari ini berkesempatan,menatap kembali manuskrip lama yang dah pun sampai siri 9.

    ReplyDelete
  4. HEH..HEH..BETUL TU WP..DUGAAN.

    ReplyDelete
  5. Kak PI..PC nak cakap sikit boleh?....TERBAIK!..best.

    ReplyDelete
  6. Hebat betul penangan bila dah rindu
    Dah tak malu lagi dah nak setting time nak jumpa

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist