Tuesday 17 September 2013

CORAK KEHIDUPAN


PILIHAN WARNA DAN CORAK HIDUP...

Celupan manakah yang kita akan pilih untuk kehidupan dunia kita ini?

Zihin atau minda seorang mukmin akan melihat perkara yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat melalui neraca yang sahih. Neraca atau piawai inilah yang akan digunakan dalam seseorang mukmin itu menentukan pilihan dan tindak tanduknya. Manusia diberikan oleh Allah SWT sifat untuk membuat pilihan (ikhtiar). Ikhtiar berasal daripada bahasa Arab. Dalam bahasa Melayu, ikhtiar bermaksud berusaha. Sedangkan dalam bahasa asalnya, perkataan ini bermakna ‘pilihan’. Allah SWT memberikan kita keupayaan untuk berkehendak dan membuat pilihan.

Islam mengajarkan bahawa setiap detik dan saat yang berlalu dalam kehidupan dunia ini adalah ruang-ruang pilihan yang akan menentukan corak kehidupan akhirat seseorang. Mulia atau hina. Barjaya atau gagal. Bahagia atau celaka. Oleh itu, zihin seorang mukmin akan sentiasa melihat setiap gerak gerinya dan menilai dengan penilaian akhirat. Dia akan pastikan bahawa apa sahaja kehidupan dunianya akan diwarna dan dicorakkan dengan celupan agama Allah. Sebagaimana ingatan Allah di dalam al-Quran:

صِبْغَةَ ٱللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدونَ
“Shibghah (Celupan) Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.” (Surah al-Baqarah: 138)

Al-Quran menggambarkan corak kehidupan akhirat ketika itu ada dua keadaan sahaja, sama ada bahagia atau celaka! Apa yang lebih malang lagi, ketika itu kita sudah tidak mempunyai upaya untuk membuat pilihan. Kita hanya berhak menerima natijah pilihan yang kita lakukan di dunia dahulu.

“(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada pula yang berbahagia. Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam Nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.” (Surah Hud: 105-108)

Semuanya ditangan dan minda anda...


2 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist