Saturday 11 February 2012

SELIRATAN CINTA 1... bab 4/2 Novel adaptasi skrip drama TV dengan izin karya Fauziah Abd.Samad. Diedit oleh: Noorlaila Ghafar penulis novel HIJRAH HATI terbitan DBP


Haseena menyambut dua tamunya dengan senyum teramat manis. Pelanggan tetapnya itu rajin mengunjungi salonnya sekiranya kedua-duanya memerlukan khidmatnya. Kedatangan kedua-duanya memang sangat di alu-alukannya. Ibarat ‘kurang tapak tangan nyiru ditadahkan.’ Pelanggan yang sentiasa membawa rezeki kepadanya.
 Sekurang-kurangnya dia boleh bercerita pada pelanggan-pelanggannya yang baru berjinak-jinak dengan khidmat salonnya bahawa salonnya itu sangat istimewa perkhidmatannya, sehingga mampu menarik golongan Datin-datin isteri-isteri Datuk-datuk bergelar yang ternama mengunjunginya.
Itupun salah satu strategi pengiklanan perniagaan juga menurutnya. Untuk melariskan lagi perniagaannya. Bukan senang juga hendak bersaing dengan peniaga-peniaga non-bumiputera yang telah lama bertapak di bidang ini. Perlukan semangat yang tegar gigih. Bukan calang-calang.
Amat kompetetif dan sengit sekali. Jika tidak sabar kerana sering rugi pada mulanya kerana pelanggan jarang-jarang mengunjungi salonnya, tentu sudah lama dia tutup kedai.
Dia sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mencari di mana kesilapannya. Bimbingan dari agensi kerajaan seperti MARA (Majlis Amanah Rakyat) didapatkan. Badan ini memang dikenali dengan iltizam membantu bumiputera yang berminat dalam perniagaan memajukan diri.
Dan  berkat kesabaran dan kesungguhannya dia mampu juga bertapak dengan teguh. Sukar hendak menggoyangkan atau menumbangkan perniagaan yang berdiri jitu itu kini.
Kata seorang penceramah agama yang sering muncul di kaca TV; amalkan membaca surah al-waqiah setiap malam jumaat supaya Allah mempermudahkan rezekinya dan dia mengambil anjuran itu.
Disamping usaha yang tidak putus-putus dan doa-doa yang dipohon akhirnya dia dirahmati dengan kejayaan. Dia bersyukur ke hadzratnya.   
            “Ita temani Datin berdua ini saya hendak keluar sebentar.” Haseena menggamit pembantunya yang sedang menyusun semula majalah di raknya setelah ditarik keluar, dibelek, dibaca dan diletakan dimana saja oleh pelanggan-pelanggannya.
Tugas Ita mengemaskannya seketika untuk diserakan semula pelanggan-pelanggan Haseena. Dia tidak tidak boleh mengeluh bosan mengulangi rentak yang serupa kerana sememangnya dia dibayar untuk itu.
            “Maaf Datin berdua kerana tidak dapat hendak melayani Datin seperti selalu, sebab ada urusan sedikit yang perlu diselesaikan. Datin buatlah salon saya ni seperti rumah sendiri. Datin pun bukan tak biasakan…maafkan saya terpaksa berangsur dulu.” Haseena manis berbahasa dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir mengucap pamitan. Sambil melambai tangan di muka pintu salonnya. Kedua-dua datin itu mengucapkan selamat jalan dan jaga diri kepada Haseena.
            “Ita kau blow sikit rambut aku ni agar blond sikit.” Majmin sudah mencapai kerusi dan menghenyakan ponggongnya di atasnya. Ita mencapai hairdryer di kaunter di tangan kanan. Tangan kirinya menyikat rambut Datin Majmin. Datin Maimon duduk di kerusi sebelahnya menyelak sebuah majalah fesyen.
            “Majalah mana yang dia orang cakap tu?” Ita termangu sejenak. Mindanya ligat berputar, berusaha memahami maksud pertanyaan Datin Maimon. Dia masih keliru tercari-cari fakta yang pasti.
            “Majalah?” matanya menentang bebola mata Datin Maimon yang mencerlang sinarnya.
            “Ala tentang gossip Nurima dengan Datuk tu.” Tukasnya serius agar pembantu itu prihatin.
            “Entahlah. Tak pasti pula. Tapi Datin carilah dalam susunan majalah dalam rak tu. Mesti ada di mana-mana. Saya ni sibuk dengan kerja saya je, tidak ada masa nak perhatikan semua tu Datin.” Ita mengakui kelemahannya dengan jujur. Dia hanya minat berkerja tetapi tidak minat membaca.
Walaupun bacaan ringan yang boleh membuat minda sesaorang itu selesa bersantai. Ita memang pun tidak suka membaca sewaktu sedang berkerja kerana ianya akan mengganggu tumpuannya kepada kerja yang hendak dilakukannya.
Dia hanya fokus kepada kerjayanya. Kerjanya itu memang memerlukan stamina yang banyak kerana terpaksa lama berdiri dan sering bergerak ke sini sana memenuhi permintaan pelanggan yang hanya duduk santai di kerusi.
Leka pula membaca majalah yang dipenuhi foto-foto artis wanita yang jelita @ artis lelaki yang tampan. Setelah mengambilnya di dalam rak sengaja pula lupa hendak meletakannya kembali di tempatnya. Tetapi dibiarkan bersepah merata, sesuka hati saja.
            “Yang mana satu agaknya ya?” dia berpaling pada Majmin.
            “Kenapa kau risau ke?” Majmin menentang anak mata yang beralis tebal itu. Dia tersenyum sedikit memerhati riak yang berolak di wajah temannya..
            “Mahunya tidak risau, dibuatnya laki aku yang sedang dipancing artis tu tidak ke naya rumah-tangga aku. Porak peranda jadinya. Laki aku tu pun boleh tahan juga merenyamnya. Kalau memandang wanita cantik, bukan main lagi dia. Sampai tidak berkelip biji mata. Terjojol bulat macam bola pingpong.” Dia mengulas sikap suaminya yang menjengkelkan itu.
            Dibiarkan saja temannya itu melancarkan ocehan yang sedang menyerabuti mindanya dilerai satu persatu. Dia tersenyum sedikit. Dia merasa lucu mendengar ayat Maimon yang hujungnya.
Ita mengerling gelagat Datin Maimon. Ada senyuman kecil tersungging di bibirnya. Mendengarkan dengan asyik cerita alam rumah-tangga orang. Alam yang belum ada keberanian dalam dirinya untuk diterokainya. Belum ada serunya lagi untuk menghuni alam yang sangat mencabar itu. Kata hatinya begitu.
            “Suami kau tu tidak gitu Mon. Janganlah perasaan kau tu melebih-lebih pulak, Sham tu aku kenal sangat. Dia tu mudah mesra dengan sesiapa saja. Cakapnya memanglah berdegar-degar dan takut kita mendengarnya. Katanya semua gadis cantik hendak ditekelnya. Tapi tidak dibuat pun.” Majmin menterjemahkan firasat pandangannya tentang perwatakan temannya. Suami Maimon temannya.
Kata pepatah tong yang kuat bunyinya bila dipalu biasanya kosong. Firasat Majmin menyetujuinya.
            “Kau mana tahu apa yang ada dalam hati perut dia Min.” Datin Maimon mencebik bibirnya. Tidak yakin dengan sanggahan temannya tentang suami yang sentiasa dicurigai kesetiannya itu.
            “Kami sudah lama berkawan Mon. Sejak dari sekolah rendah, menengah hinggalah ke kolej. Dia memang begitu orangnya. Aku tahu hati budinya. Buktinya perkahwinan kau dan dia kekal hingga kini walaupun kau selalu beritahu aku, suami kau asyik mengejar artis cantik. Tapi aku rasa, apa yang kau dengar itu hanya gossip orang. Kadangkala ada juga manusia yang tidak gemar melihat kita berbahagia.” Hati rusuh temannya itu cuba ditenangkannya.
Tetapi hatinya pula yang dilanda resah. Ada sesuatu yang bermain-main menjentik kalbunya.
            “Jika dibandingkan antara Shaari dan Shamsi seperti bumi dan langit jauh beza perwatakannya. Shaari baik dan pendiam. Tentu rumah-tangga kau aman bahagia tanpa sebarang masalah berat yang merunsingkan seperti aku. Aku ni bila dapat tahu Sham mula intim dengan sesaorang mulalah berperang. Dunia rumah tangga aku langsung tidak  aman. Sentiasa berkocak dengan perang.” Datin Maimon membuka rahsia rumah-tangganyanya kepada Majmin.
Majmin sudah seringkali mendengar cerita begitu. Bukanlah sesuatu yang asing dan menjadi rahsia diantara mereka.
 Ita belum selesai lagi menggulung rambut Datin Majmin.
Dia melakukan dengan cermat dan berhati-hati agar hasilnya kelak memberi kepuasan dan tidak di pertikaikan.
Di samping itu dia turut mengikuti perbualan yang dianggapnya sangat menarik antara kedua-dua Datin itu. Dia tidak akan masuk campur. Tetapi menadah cupingnya lebar-lebar. Ceritera di sebuah sisi kehidupan yang sangat mengasyikannya.
            “Kau tidak payah nak puji sangat laki aku tu Mon. Jangan kau sangka orang yang tenang dan pendiam itu tidak banyak olahnya. Air yang tenang jangan sangka tidak ada buaya oii. Orang yang tenang dan pendiam begitu memang banyak menyimpan rahsia. Aku pun macam kau juga tidak yakin seratus peratus pada kejujuran laki aku. Tapi tidak adalah sampai nak bertegang leher setiap hari. Aku tidak ambil pusing dengan apa yang hendak dilakukannya. Kita ni sudah berusia, sudah matang, so be profesional. Sesuatu itu kita tangani dengan berhemah.Ada unsur konsultansi yang terselit bersama bicaranya yang lunak. Ironinya di hatinya madahnya berbeza.   
‘Masalah aku, hanya aku yang tahu Mon’ monolognya tidak menyapa bibir. Direnung wajahnya pada cermin yang terpasang sederet di dinding. Tersenyum tawar pada dirinya sendiri. Cermin itu seolah penuh dengan warna-warna pudar kehidupannya yang semakin muram.
Telefon bimbit Datin Majmin tiba-tiba berdengut lagu pilihan yang diset ke dalamnya. Dia menjawabnya segera. Wajahnya cerah berseri kegembiraan. Seakan mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka. Melambak-lambak pula.
“Hello…hey… bila balik ni?” senyumnya terorak lebar. Maimon memerhati riak di wajah temannya yang ketara riang, berbahagia. Dia menanti dengan sabar untuk meneka apakah berita yang diterima Majmin itu.
“Baru je sampai mama. Mama di mana tu? Baliklah cepat. Rindu nak jumpa mama.” Sahut suara yang dibawa buli-buli udara yang mengelombang kerana kecanggihan teknologi transformasi arus udara.
Dari zaman Alexander Graham Bell yang merekacipta talipon hingga kini sentiasa ada perubahan yang inovatif lagi kreatif menuruti peredaran masa. Tentulah untuk kegunaan maya sejagat.
“Ok. Sekejap lagi mama balik.” Dia memandang Ita yang juga sedang menujah anak matanya menantikan sesuatu keputusan yang bakal terbit ekoran dari panggilan yang diterima Datin Majmin itu. Ita pasti akan ada arahan baru yang perlu dipatuhinya.
“Maaf Ita. Nampaknya Ita terpaksa rungkai semula gelongan rambut ni. Lepas tu blow sedikit saja. Sebab saya nak cepat balik. Tak sabar nak jumpa anak saya yang baru pulang dari luar negara tu.” Ita tidak langsung bersungut kerana kerjanya tidak dapat disempurnakan sebaiknya.

2 comments:

  1. ;)
    permulaan yg sgt menarik

    ReplyDelete
  2. terima kasih banyak irfa...rajin juga irfa membaca ye...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist